'Tiada sijil halal, jangan promosi bufet Ramadan'
MELAKA - Hotel di negeri ini yang tidak memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya menggunakan istilah 'Bufet Ramadan.'
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat berkata, setakat 30 Mac lalu hanya 14 hotel yang memiliki sijil itu dibenarkan menggunakan beberapa istilah untuk mempromosikan juadah berbuka puasa, iftar dan selera Ramadan.
Menurutnya, tindakan mereka yang tidak memperoleh SPHM namun menggunakan sijil itu merupakan satu kesalahan kerana cuba memperdayakan pengguna.
"Bagi mereka yang tidak ada sijil halal jangan cuba tampal 'hotel saya hotel halal'.
"Kalau ada yang menggunakan perkataan halal untuk promosi, kita minta bantuan supaya salurkan kepada JAIM untuk tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut beliau berkata, mereka yang tidak memegang sijil berkenaan masih boleh menganjurkan bufet Ramadan namun tidak boleh menggunakan istilah tersebut demi menjaga kepentingan Muslim.
"Denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 kepada mereka yang menyalah gunakan istilah bufet Ramadan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!