Negara Islam perlu usaha untuk setanding negara maju
ISLAMABAD - Malaysia dan negara Islam yang lain perlu berusaha agar setanding dengan negara maju, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, Malaysia berpendapat terdapat ruang untuk memperluaskan kerjasama dengan atau antara negara Islam lain.
“Hari ini tidak ada satupun negara Islam yang dianggap sebagai negara maju. Sebenarnya Malaysia mempunyai perancangan menjadi negara maju menjelang 2020, tetapi malangnya perubahan dalam kerajaan (pemimpin) menjadikannya tidak mungkin dapat dicapai.
“Bagaimanapun kami masih berhasrat menjadi negara maju menjelang 2025. Kami berharap ini bukan hanya kepada Malaysia sahaja,” kata beliau pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di sini pada Jumaat.
Dr Mahathir memulakan lawatan kerja tiga hari ke Pakistan pada Khamis.
Dr Mahathir berkata, negara Islam seperti Malaysia dan Pakistan perlu mencari cara menangani Islamofobia.
“Pakistan dan Malaysia memahami isu ini. Kami dapati kini terdapat kebimbangan dan anti terhadap orang Islam dan itulah sebabnya kenapa 50 orang Islam terbunuh (dalam insiden tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand minggu lepas),” katanya.
Beliau berkata, insiden berkenaan yang turut melibatkan warga Pakistan dan Malaysia di kawasan itu sebagai mangsa, berlaku kerana perasaan kebencian yang dihasilkan oleh media dan orang tertentu.
“Kita perlu belajar bagaimana mengatasi masalah ini. Ia tidak semestinya dengan melawan kita boleh menang. Pengalaman Malaysia ialah mengenai memenangi hati dan minda rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan Pakistan boleh bekerjasama dalam hal itu supaya ada peningkatan yang lebih baik terhadap persepsi orang Islam di dunia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!