Prasarana adakan latihan persediaan pembukaan MRT laluan Putrajaya
KUALA LUMPUR - Prasarana mengadakan latih amal pelan tindakan kecemasan (ERP) bersama agensi-agensi tindakan kecemasan sebagai persediaan pembukaan projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya tidak lama lagi.
Prasarana dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, latihan yang diadakan di Stesen Sri Damansara Sentral pada 22 Mac lepas melibatkan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Selayang dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Latih amal dengan kod nama ‘X-PERT’ itu melibatkan simulasi insiden sebuah kereta melanggar tiang lampu yang kemudiannya terjatuh ke laluan trek antara Stesen Sri Damansara Sentral dan Sri Damansara Barat sebelum dilanggar tren empat gerabak yang menghala ke Kampung Batu.
Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya, Datuk Amiruddin Ma'aris berkata latihan berkenaan penting untuk menguji keberkesanan latihan kecemasan serta tahap responsif agensi kerajaan berkaitan dalam situasi kecemasan sebenar.
"Rapid Rail sebagai pengendali dan MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset akan terus membuat penambahbaikan untuk memastikan tahap perkhidmatan boleh dipercayai dan setanding dengan perkhidmatan metro bertaraf dunia", katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!