Masyarakat Sabah, Sarawak kekal amalkan SOP beli juadah berbuka

Orang ramai membeli juadah untuk berbuka puasa pada hari pertama pembukaan Bazar Ramadan di Mydin Samariang di Petra Jaya pada Ahad dengan mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka.
-Foto Bernama
Orang ramai membeli juadah untuk berbuka puasa pada hari pertama pembukaan Bazar Ramadan di Mydin Samariang di Petra Jaya pada Ahad dengan mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka.
-Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Keterujaan masyarakat Sabah dan Sarawak untuk menjual dan membeli pelbagai juadah 'sungkai' atau 'sungkei'’ (buka puasa) enak di bazar Ramadan tidak mengalpakan mereka daripada terus melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan di bazar Ramadan kedua-dua negeri itu mendapati meskipun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula Jumaat lalu, namun peniaga dan pengunjung masih mempraktikkan langkah berjaga-jaga demi keselamatan semua pihak.

Bazar Ramadan di Asia City dan Lintasan Deasoka di sini, merupakan antara 16 bazar di Kota Kinabalu yang mewajibkan pengunjung memasuki bazar itu agar mengimbas kod aplikasi MySejahtera selain memastikan peniaga dan pengunjung memakai pelitup muka pada setiap masa.

Beroperasi bermula jam 2 petang hingga 7 malam, kedua-dua bazar itu turut dipantau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pengunjung dan peniaga terus mematuhi SOP yang ditetapkan di bazar berkenaan.

Di Sarawak pula, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi negeri, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tahun ini Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyediakan 69 petak atau gerai di dua bazar iaitu di perkarangan pasar raya Mydin Samariang dan kawasan Satok bagi memastikan peniaga dan pengunjung dapat mengamalkan penjarakan fizikal tanpa perlu bersesak-sesak.

"Walaupun mendapat kelonggaran dari Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk penganjuran bazar Ramadan namun SOP perlu dipatuhi,” katanya selepas merasmikan bazar Ramadan di perkarangan pasaraya terbabit.

Sementara itu, seorang peniaga di bazar berkenaan, Salleh Ahmad, 45, berkata, peluang untuk berniaga semula di bazar tersebut memberikan kelegaan kepadanya bagi menambah pendapatan setelah sekian lama ia tidak beroperasi.

Bagi pengunjung bazar, Salbia Iri, 76, pula dia bersyukur suasana dan bahang bazar Ramadan telah kembali seperti biasa biarpun pilihan juadah yang dijual peniaga berkurangan berbanding tahun sebelum pandemik bermula. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!