Covid-19 halang gandingan 'patatimo' beraksi ke final
KUALA LUMPUR - Harapan beregu muda lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri untuk merangkul kejuaraan sulung mereka di Kejohanan Masters Orleans di Perancis punah selepas Muhammad Haikal didapati positif Covid-19.
Beregu Malaysia terpaksa memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada beregu Belanda Ruben Jille-Ties Van Der Lecq, selepas Muhammad Haikal didapati positif Covid-19 beberapa jam sebelum melangkah ke gelanggang untuk perlawanan akhir pada Ahad.
Penarikan diri pasangan yang bukan pilihan kejohanan daripada final bermakna Jille-Van Der Lecq muncul sebagai juara tahun ini.
"Perjuangan 'Patatimo Boys’ berakhir selepas terpaksa memberi kemenangan mudah berikutan Haikal Nazri positif ujian Covid-19. Semoga segera sembuh, Haikal,” menurut satu hantaran Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Ahad.
Wan Arif dari Terengganu sementara Muhammad Haikal dari Kelantan sebelum ini melangkah ke final selepas menumpaskan gandingan tuan rumah Eloi Adam-Julien Maio 21-18, 21-16, dalam separuh akhir pada Sabtu.
Bukan itu sahaja, beregu 103 dunia melakukan kejutan di dalam kejohanan itu selepas menewaskan satu lagi pasangan tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior yang di kedudukan ranking ke-30 dunia dalam pusingan pembukaan 19-21, 24-22, 21-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!