Kos ternakan, peningkatan permintaan punca daging segar naik harga
SHAH ALAM - Kenaikan harga daging segar ketika Ramadan berlaku kerana penternak sedang berhadapan dengan kos bahan mentah makanan yang tinggi di samping peningkatan permintaan daripada pembeli.
Pengerusi Koperasi Generasi Transformasi Ruminan (GTR), Nordin Mat berkata, peningkatan kos harga makanan ternakan seperti kek kernel sawit (PKC), jagung dan soya sememangnya berlarutan sejak awal tahun lepas.
Beliau berkata, ia sememangnya telah dijangka meningkat antara dua hingga tiga kali ganda setiap kali menjelang Ramadan dan perayaan Aidilfitri.
“Sebenarnya sebelum ini pun dah naik, cuma mungkin orang tidak berapa perasan. Mungkin bila tiba bulan puasa ini, orang baru sedar sebab kenaikan itu turut disumbang oleh permintaan yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan bahawa harga daging segar di Terengganu merekodkan peningkatan kepada RM35 sekilogram (kg) naik RM1 berbanding RM34 minggu lalu.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, peningkatan harga yang berlaku di Terengganu dan Kelantan berada pada kadar yang munasabah jika dibandingkan dengan kenaikan di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang mencecah antara RM38 hingga RM40 sekilogram.
Jelas beliau, meskipun peningkatan harga daging segar itu dijangkakan kembali sedikit reda selepas tempoh perayaan Aidilfitri, namun trend kenaikan bahan makanan segar itu yang diakibatkan oleh kos penternakan berkemungkinan bakal terus berlarutan sekiranya tiada sebarang perubahan dasar yang dilakukan oleh kerajaan.
“Mustahil untuk harga daging ini turun kecuali kalau ada satu dasar baharu dibuat oleh kerajaan contohnya melalui pengenalan kuota subsidi makanan ternakan.
“Dengan langkah tersebut, kita dapat kurangkan kos penternakan dan seterusnya menurunkan harga jualan daging,” ujarnya.
Nordin menambah, harga makanan ternakan termasuk PKC yang dihasilkan di dalam negara juga dilihat masih tidak terkawal.
“Kita faham kalau harga jagung dan soya itu tidak boleh dikawal sebab ia komoditi dari luar negara. Tapi PKC ini adalah satu bahan buangan daripada kilang sawit yang sekarang ini banyak penternak luar negara mereka import (dari Malaysia).
“Jadi ini juga menyebabkan penternak sendiri (tempatan) nak dapatkan bekalan pada harga yang rendah susah sedangkan keperluan PKC untuk penternak tempatan ini hanya tiga peratus daripada keseluruhan pengeluaran PKC negara,” katanya.
Nordin memaklumkan setakat April ini, penternak masih belum mendapat manfaat daripada subsidi PKC yang diumumkan dalam Bajet 2022 melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit berjumlah RM25 juta.
Akuinya, antara isu lain yang membelenggu penternak di dalam negara ketika ini adalah kekurangan tenaga kerja dan penularan penyakit kulit kental ataupun lumpy skin disease (LSD) yang menyebabkan banyak kandang terpaksa ditutup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!