Hari pertama Ramadan meriah
HARI pertama Ramadan bagi umat Islam dalam negara disambut dengan cukup meriah selepas dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Malah, orang ramai teruja mengunjungi bazar Ramadan bagi mendapatkan juadah berbuka pada hari pertama berpuasa berikutan lebih banyak kelonggaran diberikan di bawah fasa peralihan ke endemik bermula Jumaat lepas.
Sehinggakan, ada sesetengah bazar Ramadan, juadah mereka habis dijual sebelum azan Maghrib berkumandang.
Bagaimanapun, umat Islam digalakkan supaya tidak membeli juadah berbuka puasa terlalu banyak hingga boleh mengundang kepada pembaziran.
Dalam pada itu, jemaah masjid dan surau di setiap negeri juga menunjukkan peningkatan disebabkan kelonggaran menunaikan solat tarawih tanpa penjarakan mengembalikan aura Ramadan yang tidak dapat dinikmati pada tahun sebelum ini.
Pada Ahad, bagi mengimarahkan lagi kehadiran bulan Ramadan di Johor, kerajaan negeri membenarkan jamuan berbuka puasa diadakan di surau dan masjid.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid bagaimanapun berkata, hanya 50 orang sahaja dibenarkan.
Katanya, sekiranya terdapat lebih daripada 50 orang jemaah, pihak pengurusan masjid dan surau perlulah menyediakan makanan secara berbungkus kepada yang hadir.
Selain itu, dalam menikmati keindahan bulan Ramadan itu juga, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Itu yang berlaku dalam kalangan masyarakat Sabah dan Sarawak apabila menjual dan membeli pelbagai juadah 'sungkai' atau 'sungkei' (buka puasa) enak di bazar Ramadan, mereka tidak alpa apabila melaksanakan SOP bagi mengekang penularan Covid-19.
Tinjauan di bazar Ramadan kedua-dua negeri itu mendapati meskipun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik bermula Jumaat lalu, namun peniaga dan pengunjung masih mempraktikkan langkah berjaga-jaga demi keselamatan semua pihak.
Kebanyakan pengurusan bazar Ramadan masih mengekalkan SOP seperti imbasan MySejahtera selain ada yang menggunakan sistem tiket untuk mengawal jumlah kemasukan pengunjung dan orang ramai juga patuh dengan pemakaian pelitup muka.
Sementara itu, hujan di beberapa negeri tidak membantutkan keterujaan orang ramai mengunjungi bazar Ramadan bagi mendapatkan juadah berbuka pada hari pertama berpuasa.
Meskipun hujan di beberapa tempat di bazar Ramadan, tidak menghalang orang ramai berkunjung ke bazar seawal jam 4 petang dan tetap membeli juadah berbuka walaupun terpaksa meredah hujan sekitar 5 petang.
Kebanyakan peniaga juga berharap perniagaan mereka mendapat sambutan lebih baik tahun ini susulan kelonggaran yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!