Pelabur tak perlu bimbang beli saham Perak FC

Laporan Sukan Sinar pada 2 April lalu. (Gambar kecil: Richard Scully)
Laporan Sukan Sinar pada 2 April lalu. (Gambar kecil: Richard Scully)
A
A
A

PARA pelabur diharap tidak bimbang membeli ekuiti saham Perak FC kerana kelab Liga Premier itu sudah mempunyai asas kukuh dalam arena bola sepak negara.

Menurut pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, ia berdasarkan sejarah skuad bola sepak Perak yang memiliki identiti dan sejarah tersendiri hasil pelbagai kejayaan sebelum ini.

Justeru, menerusi pelaburan yang dibuat kelak, Scully percaya pelabur boleh mula melakukan penstrukturan serta penjenamaan semula skuad The Bos Gaurus itu dalam usaha mengembalikannya sebagai pasukan disegani di negara ini.

“Pada pandangan saya, imej bola sepak Perak yang tercalar ketika ini akibat isu tunggakan gaji menyebabkan pelabur tidak berani membuat pelaburan.

“Sebenarnya, tak payah risau sebab identiti itu sudah ada, siapa tak kenal Perak? Antara lima pasukan terbaik negara ini, cuma keadaan semasa dari segi kewangan buatkan mereka merudum ketika ini.

“Lagi pun, Perak ini bukan pasukan tak bagus, memang bagus cuma bagi saya penstrukturan dan penjenamaan semula harus dilakukan dengan melibatkan pengurusan pasukan serta pihak pemegang taruh,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Sebelum ini dilaporkan ada pihak yang menyatakan minat untuk melabur dengan membeli ekuiti saham Perak FC dan mengambil alih pentadbiran daripada pemilik ketika ini, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd.

Bagaimanapun difahamkan, sehingga kini pihak berkenaan masih belum mengemukakan dokumen bukti dana (proof of fund) bagi membuktikannya memiliki sumber kewangan kukuh bagi tujuan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Scully menegaskan pelabur juga perlu merangka satu pelan strategik berhubung usaha penstrukturan dan penjenamaan semula Perak FC.

Bagaimanapun, pada masa sama katanya, pelabur juga perlu realistik dengan pelaburan yang dibuat kelak.

“Segelintir pelabur ini dia hanya memikirkan nak pulangan cepat di mana dengan satu pelaburan besar tetapi nak pulangan cepat. Tetapi saya rasa dalam industri ini kita tak boleh harapkan pulangan cepat, kerana ia melibatkan prestasi, keputusan, profil pasukan selain pemain dibeli.

“Justeru pelabur perlu mengambil contoh ketika Tan Sri Tony Fernandes membeli saham syarikat Air Asia suatu ketika dahulu di mana ketika itu syarikat berkenaan dibebani masalah hutang.

“Akhirnya dengan pembelian saham bernilai RM1 itulah beliau memulakan perniagaan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tawaran pembelian saham Perak FC dengan nilai RM1, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah menegaskan bahawa RM1 itu sebenarnya adalah selaras dengan liabiliti kelab berkenaan ketika ini.

Menurut Muhammad Yunus, nilai RM1 itu juga secara keseluruhannya diharap dapat membantu mengurangkan beban pihak yang berminat membeli saham berkenaan.

“Bila pembelian kelab yang banyak berhutang, pelaburan yang dibuat adalah untuk melunaskan kesemua hutang berkenaan.

“Selain itu, dengan nilai RM1, kami juga menggalakkan pihak di luar sana tampil bagi membantu menyelesaikan liabiliti berkenaan kerana apa yang penting bagi kami ketika ini adalah gaji pemain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!