Klopp lega Alexander-Arnold pulih daripada kecederaan

Alexander-Arnold
Alexander-Arnold
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp lega apabila tonggak pertahanan Trent Alexander-Arnold kini disahkan pulih dan telah pun menyertai latihan menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara berdepan Benfica pada awal pagi Rabu.

Menurutnya, kehadiran Alexander-Arnold dilihat bakal membantu mengukuhkan lagi benteng pertahanan The Reds bagi mengharungi aksi suku akhir pertama berkenaan.

“Trent (Alexander-Arnold) telah menjalani latihan penuh semalam dan kita gembira dengan perkembangan terkininya.

“Secara fizikalnya dia seharusnya berada dalam keadaan baik setelah mengikuti sesi pemulihan bersama unit kecergasan kita.

“Apa pun, kini saya perlu membuat keputusan sama ada menurunkannya atau tidak selain perlu memikirkan percaturan taktikal berdepan Benfica,” katanya.

Untuk rekod, Alexander-Arnold tidak beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini berikutan kecederaan 'hamstring' dialaminya.

Sementara itu, Klopp berkata, sekiranya Alexander-Arnold masih belum boleh diturunkan, masih ada pemain yang mampu mengisi kekosongan selaku pemain pertahanan kanan The Reds bagi berdepan Benfica.

Katanya, pemain seperti Joe Gomez dan James Milner dilihat mampu menggalas tugas untuk beraksi di posisi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak katakan bahawa dia (Alexander-Arnold), tidak dapat diturunkan kerana segalanya berkemungkinan.

“Tetapi jika itu berlaku, kita masih ada pilihan lain dan kita akan memanfaatkan pilihan itu dalam usaha memantapkan benteng pertahanan pasukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!