Kadar tol di empat lebuh raya di Lembah Klang tidak dinaikkan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), SMART, SPRINT dan Damansara- Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan dan dikekalkan sehingga tamat konsesi.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya tersebut.
"Kerajaan meneliti secara terperinci semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, langkah penstrukturan itu dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari sehingga tamat tempoh konsesi.
"Penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion," katanya.
Beliau berkata, usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol sepertimana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.
"Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.
Ismail Sabri berkata, penstrukturan dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban rakyat serta tidak melibatkan implikasi kewangan.
"Perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula ini akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!