Bomba berjaya padamkan kebakaran hutan di Gebeng
KUANTAN - Kebakaran hutan di sepanjang laluan Kuantan Pekan dekat Gebeng, berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) hari ini.
Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, kebakaran di tepi hutan masih berlaku dan menyala.
Menurutnya, 13 kebakaran baharu dikenal pasti di 13 lokasi berasingan hari ini.
“Pihak JBPM sedang mengawal kebakaran agar tidak merebak ke kawasan perkampungan berdekatan, pada masa kini dua pasukan dihantar ke lokasi kebakaran.
“Satu pasukan menjalankan pemadaman manakala sepasukan lagi bertindak menyediakan zon penampan bagi mengelakkan api memasuki kawasan Kampung Sungai Ular.
“Kebakaran hutan di sepanjang laluan Gas Malaysia di Perindustrian Gebeng di sini sudah berjaya dipadamkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Nor Hisham berkata, operasi hari ini melibatkan 14 anggota yang mana semalam turut mendapat penglibatan sukarelawan Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA).
Mereka terdiri daripada kilang utama di sini iaitu Lynas Malaysia Sdn Bhd, dan Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd selain dibantu oleh Polyplastics Asia Pacific Sdn Bhd.
Kebakaran hutan di kawasan perindustrian itu disedari petang Februari lalu dipercayai bermula di kawasan berhampiran tasik, yang berkemungkinan dilakukan oleh pemancing yang melakukan aktiviti melibatkan api.
Ia berlarutan ekoran cuaca panas dan peralihan angin Monsun Timur Laut yang mempercepatkan lagi proses pembakaran tanah gambut kering.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!