MR D.I.Y. bersihkan Sungai Melaka

Sebanyak 1,000 kg sampah berjaya dikutip menerusi program #DIY4Sungai yang dilaksanakan di Sungai Melaka yang dijalankan selama dua jam.
Sebanyak 1,000 kg sampah berjaya dikutip menerusi program #DIY4Sungai yang dilaksanakan di Sungai Melaka yang dijalankan selama dua jam.
A
A
A

SHAH ALAM – MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) telah melancarkan inisiatif di bawah program mendekati komunitinya yang dikenali sebagai #DIY4Sungai bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong di sepanjang sungai dan jalan air dibersihkan serta dipulihkan sebagai persiapan untuk kembali menerima kunjungan pelancong.

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Azlam Shah Alias berkata, inisiatif itu memfokuskan hab pelancongan Sungai Melaka yang terletak di tengah-tengah bandaraya bersejarah Melaka.

Menurutnya, aktiviti itu diadakan selama dua jam melibatkan 40 sukarelawan dan pasukan MR D.I.Y. mengetuai usaha pembersihan serta pemulihan kecantikan semula jadi kawasan hadapan sungai.

“Sukarelawan terlibat terdiri daripada kakitangan MR D.I.Y. serta Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka. Lebih 1,000 kilogram (kg) sampah telah dikutip dan dilupuskan dengan cara yang bertanggungjawab.

“MR D.I.Y. ingin memberi sokongan terhadap inisiatif yang bertujuan untuk mengekalkan, melindungi serta memulihkan lokasi-lokasi pelancongan yang menarik dan indah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Azlam berkata, pelancongan adalah industri penting kepada negara dan memandangkan rakyat Malaysia boleh mengembara semula serta sempadan mula dibuka, MR D.I.Y ingin menyokong usaha untuk memulihkan kembali industri pelancongan negara kita.

“Ini salah satu cara kami membawa nilai kepada negara dan rakyat Malaysia,“ katanya.

Artikel Berkaitan:

Azlam (lima dari kanan berdiri) bersama sukarelawan yang bersama-sama membersihkan Sungai Melaka.
Azlam (lima dari kanan berdiri) bersama sukarelawan yang bersama-sama membersihkan Sungai Melaka.

Azlam berkata, MR D.I.Y turut menjalankan beberapa inisiatif seperti itu sebelum ini antaranya, bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

“Kami membersihkan Sungai Kedondong dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas kemudahan di kawasan rekreasi tersebut. Kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

#DIY4Sungai adalah salah satu inisiatif yang dilancarkan oleh MR D.I.Y. sebagai sebahagian daripada usaha kelestariannya.

Antara inisiatif lain termasuklah DIY Made Simple, sebuah pertandingan yang direka khas untuk mempromosikan budaya 'do-it-yourself' (buat sendiri) dalam kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia dan #DIY4UM, sebuah program dengan kerjasama Universiti Malaya untuk membantu lebih 12,000 pelajar membuat persiapan untuk kembali ke kampus selepas pandemik.

Pada Disember 2021, MR D.I.Y. telah disenaraikan dalam FTSE4Good Index 2021 yang diiktiraf di peringkat global, membuktikan usaha peruncit perkakas rumah tersebut untuk terus menghasilkan impak yang positif dalam komuniti di mana ia beroperasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!