Lebih 300 penduduk di Sipitang terjejas akibat paip pecah

Sani melawat lokasi paip yang pecah dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Jalan Pantai Sipitang.
Sani melawat lokasi paip yang pecah dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Jalan Pantai Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - [DIKEMAS KINI] Penduduk dari beberapa kampung di daerah ini terpaksa berhimpun di Jalan Pantai Sindumin, di sini pada Isnin bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung masalah air yang dihadapi mereka sejak dua minggu lalu.

Difahamkan, penduduk berkenaan berhimpun sejak jam 7.30 pagi sebelum beredar kira-kira dua jam kemudian selepas mendapat penjelasan daripada wakil kontraktor dan menuntut supaya paip yang rosak dibaiki segera supaya bekalan air dapat disalurkan kepada rumah penduduk yang terjejas.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sindumun, Sani Miasin berkata, lebih 300 penduduk di beberapa kampung mendakwa tidak menerima bekalan air sejak dua minggu lalu dipercayai disebabkan saluran paip pecah akibat kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo di kawasan berkenaan.

"Keadaan itu menyukarkan penduduk ditambah pula umat Islam sedang memasuki bulan Ramadan di mana bekalan air sangat diperlukan ketika ini untuk kerja harian.

"Disebabkan tiada air, penduduk terpaksa bergantung kepada tadahan air hujan serta atas inisiatif sendiri membeli air bersih di Pekan Sipitang untuk kegunaan seharian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Penduduk terpaksa berhimpun di Jalan Pantai Sipitang bagi mendapatkan penjelasan masalah air yang dihadapi sejak dua minggu lalu.
Penduduk terpaksa berhimpun di Jalan Pantai Sipitang bagi mendapatkan penjelasan masalah air yang dihadapi sejak dua minggu lalu.

Katanya lagi, antara kampung yang terjejas termasuklah Kampung Luagan Sindumin, Kampung Sindumin Baru, Kampung Lungkinangan, Kampung Pantai, Kampung Batu Tujuh, Kampung Pantai Lama dan beberapa kampung kecil di sekitarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sipitang memohon supaya pihak bertanggungjawab termasuk kontraktor dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) peka dengan masalah penduduk yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, penduduk dimaklumkan kerja pembaikan dan penyambungan air mula dilakukan namun tidak diketahui bila ia akan beroperasi seperti biasa.

"Jadi kita minta kerjasama daripada pihak JANS supaya dapat membantu penduduk yang terjejas untuk menghantar bekalan air di kampung-kampung yang terjejas.

"Selain itu, saya mencadangkan juga supaya ada tangki sementara diletakkan di tempat yang strategik bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air," katanya.