Lelaki dipenjara empat tahun miliki organ penyu

Mahkamah Sesyen Tawau memerintahkan seorang lelaki warga Filipina dihukum penjara empat tahun dan denda RM200,000 selepas mengaku bersalah memiliki organ penyu hijau di Semporna. - Gambar hiasan
Mahkamah Sesyen Tawau memerintahkan seorang lelaki warga Filipina dihukum penjara empat tahun dan denda RM200,000 selepas mengaku bersalah memiliki organ penyu hijau di Semporna. - Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen Tawau di sini pada Isnin memerintahkan seorang lelaki warga Filipina dihukum penjara empat tahun dan denda RM200,000 selepas mengaku bersalah memiliki organ-organ penyu hijau (Chelonia Mydas) di Semporna, minggu lepas.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud turut memerintahkan tertuduh, Suryan Sah Mohd Edi, 31, dipenjara dua tahun jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Suryan Sah didakwa melakukan kesalahan memiliki 13 keping plastron dan 25 keping sisik marginal penyu hijau di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 10 pagi, 29 Mac lepas.

Spesies penyu tersebut dilindungi sepenuhnya mengikut senarai dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan liar 1997.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan dibaca bersama Seksyen 41(4)(a) enakmen sama.

Hukuman ke atas tertuduh dibuat mengikut Seksyen 41(1) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 selain penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata tertuduh adalah seorang penjenayah alam sekitar dan mahkamah perlu bertegas dalam perkara terbabit.

"Jadi, ini enam tahun penjara (empat tahun hukuman asal, dua tahun jika gagal bayar denda), tiada maaf bagimu penjenayah alam sekitar, kalau mahkamah tidak tegas maka lama-kelamaan hidupan liar di laut akan pupus, ini merupakan amaran keras kepada penjenayah alam sekitar lain.

Artikel Berkaitan:

"Item rampasan yang ditemukan bersama tertuduh sewaktu kejadian seperti kapak dan tukul ini juga, sudah menunjukkan yang penyu ini dibunuh dengan kejam," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman selain mengarahkan pihak pendakwaan melupuskan kesemua barang rampasan iaitu plastron, sisik marginal penyu, perahu, enjin bot, sebilah pisau, kapak, tukul dan 'google mask' dengan sijil lupus dikeluarkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakog sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!