Sampah di Sungai Klang makin berkurang

Sampah yang terkumpul di 'interceptor' 005 berdekatan jambatan Jalan Parang. (Gambar kecil: Izham)
Sampah yang terkumpul di 'interceptor' 005 berdekatan jambatan Jalan Parang. (Gambar kecil: Izham)
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Jumlah sampah di Sungai Klang semakin berkurang daripada sekitar 2,000 tan metrik sebulan kepada 850 tan metrik sebulan sejak jentera pembersihan sungai atau 'interceptor' ditempatkan dalam sungai tersebut sejak 2019.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, terdapat dua 'interceptor' ditempatkan pada tahun 2019 dan 2021 masing-masing berdekatan Taman Awam Pangkalan Batu dan di sekitar jambatan Jalan Parang, di sini.

Menurutnya, kualiti air juga turut bertambah baik daripada kelas 4 dan 5, kepada kelas 3 meliputi 48 peratus kawasan sungai berkenaan.

"Ia (Sungai Klang) tidak akan bebas (pencemaran), tapi kita boleh minimumkan sampah menerusi projek berfasa yang mengambil masa lima tahun.

"Kualitinya (air Sungai Klang) sekurang-kurangnya kelas 3, kita nak sasarkan ia meningkat daripada 48 peratus kepada 70 peratus dalam dua tahun akan datang dan kita harap mampu naikkan kepada 90 peratus menjelang lima tahun akan datang, walaupun ia agak sukar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Lawatan ke Interceptor bersama Gerbang Maritim Selangor (SMG) di Taman Awam Pangkalan Batu pada Selasa.

Dalam pada itu, Izham berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meningkatkan kualiti air di sungai tersebut dengan membina perangkap sampah untuk menghalang sisa tersebut memasuki Sungai Klang.

Ujarnya, PBT yang terlibat dalam projek tersebut ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Artikel Berkaitan:

"PBT akan buat, kita akan bantu dari segi spesifikasi dan sebagainya kerana kita ada pengalaman dalam menguruskan Sungai Klang.

"Kita dah putuskan sebelum ini, cuma sekarang dalam proses muktamad dengan PBT. Saya jangka projek ini akan bermula dalam dua hingga ke tiga bulan depan," katanya.