475,678 permohonan pekerja warga asing diterima setakat 1 April
PUTRAJAYA - Sebanyak 475,678 permohonan pekerja warga asing telah diterima setakat 1 April lepas, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, permohonan itu melibatkan sektor perkilangan sebanyak 290,248 permohonan, perkhidmatan (77,000), perladangan (53,854), pembinaan (43,519), pertanian (11,037) serta perlombongan dan pengkuarian sebanyak 20.
Saravanan dalam kenyataan pada Isnin berkata, permohonan pekerja warga asing tersebut telah mula diproses dan sehingga kini sebanyak 2,605 pekerja warga asing telah diluluskan dalam sektor perkilangan dan perladangan.
"Terdapat juga permohonan yang tidak dapat diproses kerana dokumen tidak lengkap dan tidak membawa salinan dokumen asal, maklumat salah, jumlah melebihi kuota dan lain-lain," katanya.
Permohonan oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing mula dibuka pada 15 Februari 2022.
Saravanan turut mengingatkan majikan supaya membuat permohonan secara dalam talian dan permohonan yang dibuat secara manual tidak akan dipertimbangkan.
"Majikan perlu memastikan semua permohonan dalam talian yang dikemukakan adalah lengkap bagi mengelakkan permohonan tersebut ditolak atau tidak dapat diproses," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!