Parlimen Pakistan bubar: Jawatan Imran Khan digugurkan
NEW DELHI - Imran Khan telah digugurkan daripada jawatan Perdana Menteri selepas pembubaran Parlimen pada Ahad, selari dengan perlembagaan negara, menurut Kabinet.
Bagaimanapun, Presiden Pakistan, Arif Alvi berkata, Khan akan kekal memegang jawatan itu sehingga perdana menteri sementara dilantik, lapor Sputnik.
"Imran Ahmad Khan Niazi, akan terus menjadi Perdana Menteri sehingga pelantikan Perdana Menteri sementara di bawah Perkara 224 A (4) Perlembagaan Republik Islam Pakistan," menurut ciapan Alvi di Twitter pada Ahad.
Alvi membubarkan parlimen Pakistan selepas mendapat nasihat Khan.
Khan memberi cadangan itu sejurus selepas timbalan speaker dewan negara menolak usul undi tidak percaya terhadapnya yang disifatkan sebagai bertentangan dengan perlembagaan.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan parti pembangkang, sambil berkata mereka akan merayu keputusan itu di mahkamah.
Menurut Menteri Penerangan Pakistan, Fawad Hussain, pilihan raya awal akan diadakan dalam tempoh 90 hari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!