Tun M dakwa akan disiasat

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau akan dipanggil oleh pihak berkuasa untuk disiasat.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menyatakan sebab siasatan tersebut.

"Saya akan dipanggil untuk soal siasat. Di Malaysia ini satu tekanan yang menakutkan. Tutup mulut. Tutup telinga. Awak okay," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyatakan kehairanannya kerana rakyat Malaysia tidak marah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kerana kedua-dua mereka antara yang disebut berkali-kali sebagai terlibat dengan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Laporan-laporan ini boleh dibaca dalam akhbar Malaysia. Tetapi yang peliknya ramai orang Malaysia tidak sedikit pun marah terhadap Najib dan Rosmah, jauh sekali merasa malu.

“Di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor parti Najib disokong sehingga menang dua per tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO juga dilihat lebih menghormati Najib berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam satu rakaman video Perdana Menteri ditolak ke belakang oleh Presiden UMNO dan tarik Najib ke hadapan di tempat Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Dari peristiwa ini jelas Najib lebih dihormati oleh UMNO daripada Perdana Menteri. Apakah jenis kerajaan yang didirikan oleh Ismail Sabri jikalau ia boleh dihina di hadapan dunia," katanya.

Dr Mahathir turut mendakwa, Ismail Sabri tidak akan kekal sebagai Perdana Menteri, sebaliknya individu yang menjadi penyokong kuat Najib akan dipilih sebagai perdana menteri baharu.

“Ramai ahli UMNO hendak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera. Apakah Ismail Sabri akan jadi Perdana Menteri jika UMNO menang. Tentu tidak.

“Yang akan jadi PM tentulah penyokong kuat Najib. Bagi kerajaan yang akan didirikan, yang utama adalah membebas Najib dari hukuman 12 tahun penjara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!