13,677 PATI ditahan sejak Januari
PUTRAJAYA - Seramai 13,677 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai warganegara ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam tempoh Januari sehingga semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 4,454 operasi penguatkuasaan di seluruh negara telah dilaksanakan.
Menurutnya, tangkapan itu hasil pemeriksaan terhadap seramai 63,286 individu.
"Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia seramai 4,729 orang diikuti oleh warga Bangladesh seramai 3,164, Filipina (1,362 orang), Myanmar (1,357 orang) dan bakinya adalah dari negara-negara lain.
"Selain itu, seramai 311 majikan turut ditahan sepanjang tempoh tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, operasi yang dijalankan ini adalah meliputi 1,110 operasi di kawasan rumah kediaman, kedai (799 operasi) dan premis perniagaan, restoran dan kedai makan (256 operasi), rumah urut dan pusat hiburan (203 operasi), rumah kongsi dan tapak pembinaan (358 operasi), pasar dan pasar borong (115 operasi) dan selebihnya operasi di lain-lain premis.
Dalam pada itu, sepanjang tahun ini juga, seramai 11,915 tahanan PATI telah diusir ke negara asal masing-masing.
Tambahnya, sehingga 28 Februari lalu, terdapat 2,045,910 pekerja asing yang sah di dalam negara ini.
"Imigresen akan terus komited melaksanakan operasi penguatkuasan dan langkah penambahbaikkan kawalan pintu masuk dan keluar negara, pengurusan pekerja asing dan lain-lain hal berkaitan imigresen di negara ini.
"Usaha ini adalah bagi memastikan negara bebas dari dibelenggu masalah PATI dan lambakan warga asing selaras dengan hala tuju yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!