‘Precision medicine’ kepada pesakit kanser libat kos tinggi
PETALING JAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui tidak dapat menggunakan inisiatif 'precision medicine' khususnya kepada pesakit kanser kerana kosnya yang terlalu tinggi.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pihak swasta harus memainkan peranan masing-masing dalam memastikan inisiatif itu dapat membantu pesakit kanser di negara ini.
"Tidak mungkin kerajaan dapat berikan perkhidmatan ini untuk semua rakyat. Ia melibatkan kos yang tinggi.
"Itu sebab kita memerlukan kerjasama dan inisiatif swasta seperti ini untuk memastikan sebanyak mungkin rakyat negara ini mendapatkan akses kepada kemudahan ini,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Prudential BSN Takaful, AstraZeneca dan Pantai Premier Pathology di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad, Lim Eng Seong; Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful, Wan Saifulrizal Wan Ismail; Presiden AstraZeneca Malaysia, Sanjeev Panchal dan Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Premier Pathology, Hareef Muhammed.
Khairy berkata, buat masa ini kerajaan menguruskan pesakit kanser yang tidak mempunyai insurans kesihatan.
"Tak semua orang mampu ‘precision medicine’ sebab kita bercakap mengenai segmen yang kecil sahaja.
"Jadi inisiatif ini membolehkan golongan yang ada pelan insurans mendapatkan akses mudah kepada precision medicine," katanya.
Justeru, beliau berharap lebih banyak syarikat insurans dapat melaksanakan kolaborasi seperti ini dan memastikan pesakit kanser mendapatkan rawatan yang lebih baik.
"Ini juga penting selaras dengan Kertas Putih yang akan kerajaan bentangkan bagaimana untuk memantapkan perkhidmatan kesihatan negara," katanya.
Jelasnya lagi, Kertas Putih Kesihatan adalah penting kerana kesihatan perlu dilihat sebagai pelaburan dan bukan hanya sebagai perbelanjaan.
"Kita mahu syarikat insurans, syarikat farmaseutikal menunjukkan peranan mereka dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Tambahnya, inisiatif itu menyokong visi kerajaan untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih inklusif dan mudah diakses.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!