Malaysian Tigers pertajam penyudah
MALAYSIAN Tigers giat menggandakan usaha membaiki dan menajamkan lagi pukulan sudut penalti mereka sejak beberapa hari lalu, sebagai persiapan ke perlawanan kedua Piala Dunia Hoki kumpulan D menentang juara dunia empat kali Pakistan di Stadium Kalinga di India malam ini.
Pakar pukulan sudut penalti negara Muhammad Razie Abd Rahim berkata, pemain memberikan perhatian kepada pukulan sudut sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan dalam pertembungan dengan Pakistan, yang amat mengharapkan kemenangan pertama selepas kalah 0-1 kepada Jerman dalam perlawanan pembukaan beberapa hari lalu.
“Pukulan sudut penalti Pakistan selalunya sangat baik. Walaupun pasukan itu tidak disertai nama-nama besar, tapi mereka mampu mencapai keputusan baik sekiranya mereka mendapat pukulan sudut penalti. Itu sebabnya strategi pukulan sudut penalti di bahagian pertahanan dan bahagian serangan amat penting,” kata Muhammad Razie yang dipetik menerusi laman web Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) www.mhc.org.my.
Muhammad Razie percaya pasukan negara perlu memperoleh jaringan awal dalam pertemuan dengan Pakistan untuk membakar semangat juang dan meningkatkan moral pemain bagi meraih kemenangan.
“Saya percaya kita boleh menang, tapi usaha perlu datang dari semua pihak, Kita tidak boleh membuat kesilapan atau memberikan gol mudah kepada lawan. Mesejnya jelas, semuanya dalam tangan kita, sejauh mana kita dapat pergi dalam kejohanan ini,” tambahnya.
Faizal Saari yang berkongsi pandangan sama dengan rakan sepasukan pula berkata, mereka perlu menajamkan barisan serangan dan memperoleh kelebihan sama ada menerusi jaringan padang ataupun pukulan sudut penalti.
“Kami perlu menang. Semua tahu, kami perlu buat yang terbaik. Saya cuba dapatkan gol, saya juga sudah biasakan dengan pukulan sudut penalti. Saya tidak mahu pasukan negara berada di tempat paling bawah,” tambahnya.
Malaysia yang dimalukan dengan kekalahan 0-7 kepada Belanda dalam perlawanan pembukaan beberapa hari lepas, perlu menumpaskan Pakistan untuk menghidupkan peluang meneruskan kempen Piala Dunia.
Belanda menerajui Kumpulan D dengan perbezaan gol yang banyak, berbanding Jerman walaupun kedua-dua pasukan berkongsi tiga mata selepas bermain dalam masing-masing satu perlawanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!