Lelaki curi tabung masjid, surau dicekup
BAGAN SERAI - Perbuatan licik seorang penganggur mencuri duit tabung masjid dan surau di seluruh daerah Kerian sejak awal tahun ini akhirnya terbongkar apabila dicekup sewaktu sedang mencuri di sebuah surau, di sini pada 19 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pada jam 6.20 petang, polis menerima maklumat orang kampung terlihat seorang suspek lelaki sedang mencuri duit di tabung Surau Al Falah Parit Gabis Atas, di sini.
Menurutnya, pengadu yang merupakan setiausaha surau mendapati suspek berusia 38 tahun sedang mengeluarkan duit dari tabung surau menggunakan dawai besi yang diletakkan gam sebelum bertindak menahan suspek.
"Polis kemudian membuat tangkapan semula ke atas lelaki berkenaan dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek menjumpai beberapa barangan dipercayai digunakan untuk mencuri duit tabung masjid dan surau.
"Siasatan awal mendapati suspek mula aktif mencuri duit tabung masjid dan surau sejak awal tahun ini dan sudah melaksanakannya sebanyak 50 kali secara berseorangan," katanya dalam satu sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini hari ini.
Omar Bakhtiar berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dia akan pergi ke masjid dan surau dengan menaiki basikal kebiasaannya pada waktu solat Zohor hingga Asar.
Menurutnya, suspek akan menggunakan sebatang besi dibalut pita pelekat, memasukkan besi tersebut ke dalam tabung sebelum menarik keluar duit melekat pada pita pelekat itu seumpama perbuatan 'memancing'.
"Suspek turut dipercayai menyasarkan surau dan masjid tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan mengaku hasil perbuatan itu adalah untuk kegunaan hariannya.
"Selain itu, polis merampas sebuah beg pinggang, pemutar skru, gunting lipat, beg plastik lutsinar dan duit pelbagai not berjumlah RM47.
"Suspek turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Omar Bakhtiar berkata, suspek direman selama tiga hari bermula 20 Mac lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!