Doktor didakwa cabul pesakit ditahan
BAGAN SERAI - Seorang doktor ditahan selepas didakwa meraba pesakit wanita berusia 31 tahun.
Polis menahan doktor ini di kliniknya di Parit Buntar, semalam bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata, penahanan doktor berusia 62 tahun dibuat susulan mangsa membuat laporan polis mendakwa suspek berkenaan meraba beberapa bahagian badannya.
Menurutnya, mangsa sudah biasa mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
Kehadirannya semalam adalah kerana mengalami sakit dada dan perut.
"Sewaktu rawatan dijalankan sekitar jam 11.40 pagi Rabu lalu, suspek hanya bersama mangsa yang sudah berkahwin di dalam bilik rawatan dan tiada jururawat menemani mereka.
"Suspek kemudiannya didakwa meraba beberapa bahagian badan mangsa sewaktu pemeriksaan badan dibuat," katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian di sini hari ini.
Omar Bakhtiar berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar pada 12.02 tengah hari Rabu lalu.
Menurutnya, bertindak atas laporan itu polis menahan suspek di kliniknya semalam dan suspek kini direman selama dua hari bermula hari tangkapan bagi membantu siasatan.
"Berdasarkan rekod, mangsa sudah 11 kali mendapatkan rawatan di premis berkenaan.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!