Pertikaian pemegang saham: Hasrat Budi fail saman pemula

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat Hasrat Budi Sdn Bhd memfailkan saman pemula terhadap Entomo Malaysia Sdn Bhd, Revolusi Asia Sdn Bhd, MYSJ Sdn Bhd serta tiga individu berhubung pertikaian Perjanjian Pemegang Saham.

Entomo Malaysia adalah syarikat yang menggunakan perisiannya iaitu KPISOFT Software untuk membangunkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai ‘MySejahtera’ atas dasar tanggungjawab sosial korporat.

Hasrat Budi selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Izral Partnership di Mahkamah Tinggi di sini, pada 24 Februari lepas dengan menamakan Entomo Malaysia, Revolusi Asia, orang utama di dua syarikat itu, R Raveenderen, Pengarah MYSJ iaitu Anuar Rozhan dan Tan Sri Shahril Shamsuddin serta MYSJ sebagai defendan pertama hingga keenam.

MYSJ pada masa yang material menjadi penerima award daripada Kerajaan Malaysia untuk pengendalian aplikasi yang dikenali sebagai ‘MySejahtera’.

Berdasarkan saman pemula, syarikat itu memohon deklarasi bahawa menurut Klausa 7.1.1 Perjanjian Pemegang Saham antara plaintif dengan Entomo Malaysia, Revolusi Asia dan Raveenderen bertarikh 27 Ogos 2021, lembaga pengarah MYSJ haruslah terdiri daripada Raveenderen, seorang pengarah bebas yang memenuhi butiran dalam Kriteria Penyenaraian Bursa Malaysia Securities Berhad dan seorang representatif dari Hasrat Budi.

Plaintif juga memohon Anuar dan Shahril disingkirkan sebagai pengarah syarikat MYSJ dan Raveenderen dilantik sebagai pengarah syarikat itu.

Hasrat Budi turut memohon deklarasi bahawa mesyuarat-mesyuarat lembaga pengarah syarikat MYSJ yang dipanggil pada 22 Februari 2022 dan ditangguh kepada 25 Februari 2022, menurut Notis-notis Mesyuarat Lembaga Pengarah Pertama bertarikh 18 Februari 2022 dan 23 Februari 2022, adalah tidak sah.

Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan, menurut Perjanjian Jualan Saham bertarikh 27 Ogos 2021, Hasrat Budi telah menyelesaikan pembelian 10 peratus daripada modal saham terbitan dan berbayar dalam syarikat MYSJ dan dengan hak untuk menyelesaikan pembelian 10 peratus lagi tertakluk kepada pemenuhan beberapa syarat-syarat terdahulu.

Syarikat itu mendakwa pada hari yang sama, pihak-pihak dan Raveenderen memasuki Perjanjian Pemegang Saham untuk mengawal selia hubungan mereka antara lain sebagai pemegang saham MYSJ.

Artikel Berkaitan:

Plaintif mendakwa baru-baru ini, Raveenderen, Anuar, Entomo Malaysia dan Revolusi Asia telah berkelakuan dengan cara yang bertentangan dengan persefahaman antara pihak-pihak, antaranya pada 17 Februari 2022, MYSJ telah memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat yang pertama untuk diadakan pada 22 Februari 2022.

Hasrat Budi mendakwa pihaknya telah mengetepikan tempoh notis 14 hari dan sebarang agenda yang akan dibentangkan pada mesyuarat lembaga pengarah syarikat yang pertama akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat jawatankuasa penyelaras.

"Mesyuarat Lembaga Pengarah pertama syarikat MYSJ tidak harus dipanggil memandangkan Hasrat Budi telah menarik balik persetujuannya untuk mengetepikan keperluan notis 14 hari. Oleh itu, mesyuarat yang ditangguhkan tersebut adalah tidak sah,” dakwanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!