Empat maut, dua parah nahas empat kenderaan

Anggota polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia mengangkat empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA NERUS - Tiga penumpang dan pemandu van maut manakala dua lagi parah dalam tragedi melibatkan empat kenderaan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru dekat Kampung Sungai Ikan, di sini pada petang Isnin.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.22 petang itu melibatkan sebuah van, bas ekspres dan dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Persona.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36, Muhammad Saufi Jusoh, 38, Mohd Sahlan Mat Saat, 37, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

Saksi kejadian, Syakirah Baharin, 26, berkata, nahas itu berlaku ketika dia bersama 12 penumpang bas ekspres dari Temerloh, Pahang dalam perjalanan ke Jertih, Besut.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, van dinaiki keempat-empat mangsa dari arah Setiu itu dikatakan cuba memotong Proton Wira namun gagal sebelum hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

"Van berkenaan kemudiannya merempuh bas ini serta turut melibatkan dua kenderaan lain iaitu Proton Wira dan Proton Persona," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada malam Isnin.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membersihkan kawasan kemalangan yang membabitkan empat mangsa yang maut dalam kejadian di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. - Foto Bernama

Difahamkan, dua lagi mangsa iaitu pemandu Proton Wira, Muhammad Fazil Hussin, 33, serta seorang penumpang Proton Persona mengalami kecederaan parah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihak keselamatan mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dari dalam van.

"Mayat empat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu jam 9.20 malam manakala dua mangsa yang cedera parah turut menerima rawatan di hospital sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!