'Tiada siasatan baharu terhadap Dr Mahathir' - Bukit Aman
KUALA LUMPUR - Tiada siasatan baharu dibuat ke atas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini pihak polis tidak melakukan sebarang siasatan terhadap Dr Mahathir seperti mana yang dilaporkan beberapa portal.
"Polis mengesahkan tiada siasatan baharu dijalankan terhadap beliau.
"Kali terakhir beliau dipanggil adalah pada 23 Mac lalu bagi membantu siasatan kes terbitan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, rakaman percakapan bekas Perdana Menteri itu diambil sebelum ini hanya sebagai saksi.
"Beliau dirakam percakapan sebagai saksi bagi menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam buku yang dihasilkan bekas Peguam Negara tersebut yang berjudul 'My Story: Justice in the Wilderness'," katanya.
Pada Isnin, Dr Mahathir mendakwa beliau akan dipanggil oleh pihak berkuasa untuk disiasat.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menyatakan sebab siasatan tersebut.
"Saya akan dipanggil untuk soal siasat. Di Malaysia ini satu tekanan yang menakutkan. Tutup mulut. Tutup telinga. Awak okay," katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!