Industri pelancongan negara bernafas semula

Pengembara antarabangsa selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Qatar pada hari pertama Malaysia membuka pintu sempadan negara pada 1 April lalu. - Foto Bernama
Pengembara antarabangsa selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Qatar pada hari pertama Malaysia membuka pintu sempadan negara pada 1 April lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PEMBUKAAN semula pintu sempadan memberi kelegaan kepada industri pelancongan yang paling terkesan sejak dua tahun negara terpaksa akur dengan Covid-19.

Satu perkembangan positif dan amat baik apabila lapangan terbang di seluruh negara menerima sebanyak 119 penerbangan pada hari pertama pembukaan semula pintu sempadan negara pada1 April lalu.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, lapangan terbang di seluruh negara juga sudah melakukan penambahbaikan antaranya memendekkan proses dokumentasi semasa ketibaan.

Jelasnya, kawasan beratur di kaunter Imigresen telah diubah menjadi lebih luas untuk keselesaan penumpang dan e-gate Imigresen juga tersedia untuk pelepasan lebih cepat.

Menyoroti perkembangan industri ini yang terjejas sebelum ini, dilaporkan lebih 90 buah hotel ternama di negara ini terpaksa gulung tikar akibat pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang penularan pandemik Covid-19 bermula Mac 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng, keadaan itu berlaku selepas kerajaan kembali melaksanakan PKP bermula 13 Januari 2021.

Statistik pada tahun 2020 pula ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia menjunam 83.4 peratus dan hanya empat juta pelancong dicatatkan berbanding 26.1 juta pada 2019.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri tidak cepat melatah sebalik terus mencari solusi memulihkan semula industri pelancongan negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau memperkenalkan Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026 Tourism Malaysia antara lainnya meningkatkan pelancongan domestik, menjalin perkongsian pintar, meningkatkan promosi pelancongan dalam dan luar talian, mengoptimumkan komunikasi strategik dan penglibatan media, melaksanakan gelembung perjalanan serta melaksanakan transformasi strategik.

Jelas Nancy, langkah bersepadu perlu digerakkan segera untuk memulih dan membina semula industri dengan strategi yang lebih inovatif.

Ini bermakna sebelum pelancongan antarabangsa bangkit semula, pelancongan domestik perlu memainkan peranan ke arah pemulihan.

Percutian singkat, aktiviti riadah terbuka dan berasaskan alam semula jadi, serta pelancongan luar bandar kini menjadi tumpuan utama sektor pelancongan 2022.

Ini bermakna Pengusaha inap desa, eco-tourism dan resort perlu kembali mendapatkan keyakinan orang ramai untuk melancong di dalam negara dengan penawaran pakej percutian yang lebih berbaloi sesuai dengan keadaan semasa.

Selain itu juga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kewangan, menerusi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) turut melancarkan Inisiatif 3R sebagai program pemulihan sektor perniagaan.

Untuk melaraskan semula industri tersebut, delegasi antarabangsa haruslah terus memilih dan menghadiri acara di Malaysia. Tetapi mereka mestilah mempunyai insurans Covid-19. Justeru, MyCEB akan menawarkan dan menyediakan perlindungan insurans penuh kepada 10,000 delegasi antarabangsa pertama.

Pelancaran MySafe Business Events Planner iaitu perancang digital oleh MyCEB dan Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM), yang diperkenalkan untuk membantu dan membimbing pengembara acara perniagaan antarabangsa dan penganjur ketika berada di negara ini.

Selain itu, demi membantu pengusaha kraf tangan, satu memorandum persefahaman (MoU) antara MyCEB dan Kraftangan Malaysia telah dimeterai untuk mengutamakan kraf tempatan sebagai hadiah dan cenderamata kepada delegasi antarabangsa sekali gus boleh meningkatkan ekonomi luar bandar serta mempromosi warisan Malaysia.

Malah Pameran Makanan dan Hotel Malaysia ke-16 yang bermula 1 April lalu juga mampu mempromosikan industri makanan dan hospitaliti negara.

Pengerusi Bersama Informa Market Asia, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata, penganjuran itu memberi pengalaman positif kepada peserta pameran, penaja selain menampilkan 200 jenama besar seperti Friesland Campina Professional, Pastry Pro, Bidfood Malaysia dan Global Pacific Victory yang bersedia untuk mengalu-alukan kehadiran lebih 8,000 pengunjung sepanjang minggu ini.

* Izwan Rozlin ialah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!