Pengambilan PDI merangkumi 15 komponen kos

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan menjelaskan kos pengambilan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) adalah merangkumi 15 komponen kos di Malaysia dan di Indonesia.

Ujarnya, ia termasuklah kos Deposit Keselamatan Imigresen, insurans, pemeriksaan kesihatan, levi, dan permit kerja di Malaysia.

"Di Indonesia pula, antaranya seperti passport, visa kerja, sijil kesihatan, sijil kompetensi dan ujian psikologi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, semua kos pengambilan PDI adalah di bawah tanggungan majikan selaras dengan garis panduan Fair Recruitment Initiative yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pada 1 April lalu, satu pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia berlangsung di Jakarta.

MoU itu antara lain menetapkan kos maksimum pengambilan pembantu rumah Indonesia pada kadar RM15,000.

Saravanan berkata, MoU PDI yang baharu ditandatangani itu merupakan penambahbaikan daripada yang terdahulu.

"Struktur kos ini hanya menggariskan komponen yang terlibat tanpa menetapkan kadar harga dan akan dikaji setiap tiga bulan oleh Kumpulan Kerja Bersama (JWG) MalaysiaIndonesia bagi memastikan ianya seiring dengan keperluan semasa mengambil kira perubahan kadar tambang pengangkutan dan kos ujian kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pelbagai masalah timbul dalam pelaksanaan MoU terdahulu kerana struktur kos yang tetap dan terlampau rendah berbanding pasaran semasa.

"Ini menyebabkan majikan terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan khidmat PDI. Bagaimanapun, perkara ini telah diatasi dalam MoU PDI baharu melalui kajian struktur kos setiap tiga bulan," katanya.

Selain itu, katanya, majikan juga dijangka dapat menjimatkan kos pengambilan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 kerana tiada lagi keperluan kuarantin untuk PDI melainkan mereka didapati positif semasa ujian saringan Covid-19 di Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!