Kelindan maut tercampak dari lori
SEREMBAN - Seorang kelindan maut selepas lori dinaiki melanggar belakang sebuah lori membawa muatan getah yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 250 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, Mohamad Nur Imran Hamidun, 23, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada keseluruhan badan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki lori membawa muatan besi dalam perjalanan dari arah Alor Gajah, Melaka menghala ke Seremban.
"Namun sebaik tiba di lokasi, lori dinaiki mangsa yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 31 tahun telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori lain yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.
"Akibat kejadian itu Mohamad Nur Imran telah tercampak keluar dari lori dan alami parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya kepada media pada Selasa.
Menurutnya, pemandu lori dinaiki mangsa hanya cedera ringan dan pemandu lori membawa muatan getah pula tidak cedera.
Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!