Wanita ditahan bantu siasatan akaun bank diguna 'scammer'
BALIK PULAU - Seorang wanita berusia lingkungan 20-an ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes penipuan melibatkan RM60,467 pada jam 7 pagi, Selasa.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon bimbit itu ditahan di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas selepas polis menerima laporan polis daripada seorang jurutera berusia 27 tahun yang mendakwa ditipu.
Menurutnya, wanita yang merupakan warganegara tempatan itu kini ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes penipuan tersebut.
"Siasatan awal mendapati, wanita itu ada membuat pinjaman wang berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook pada Ogos tahun lalu. Dia kemudiannya diberi wang tunai RM1,700 dengan syarat perlu menyerahkan kad ATM miliknya kepada lelaki tersebut.
"Wanita berkenaan mendakwa tidak mengetahui kad dan akaun bank miliknya digunakan oleh lelaki itu untuk menipu mangsa. Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada wanita tersebut memang tidak mengetahui kegiatan (menipu) itu atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas mengenai kes penipuan melibatkan jumlah wang RM60,467 itu, Kamarul berkata, mangsa dihubungi wanita itu kononnya dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM32,000.
"Wanita itu turut menyatakan bahawa nama mangsa didaftarkan ke atas sebuah syarikat tempatan. Talian kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan dan mangsa bercakap dengan seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
"Wanita tersebut kemudiannya mengarahkan mangsa untuk membuat pembayaran dan jika gagal, mangsa akan diambil tindakan undang-undang. Mangsa yang ketakutan terus membuat bayaran bagi menyelesaikan kes berkenaan.
"Mangsa telah membuat lima transaksi yang berjumlah RM60,467 ke akaun wanita tersebut. Kita percaya, akaun wanita itu telah digunakan oleh pihak lain, namun siasatan masih dijalankan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!