Hentikan jual beli tenggiling

Tenggiling adalah haiwan dilindungi sepenuhnya. - Foto Elisa Panjang
Tenggiling adalah haiwan dilindungi sepenuhnya. - Foto Elisa Panjang
A
A
A

KOTA KINABALU - Orang ramai digesa menghentikan pembelian tenggiling dan melaporkannya kepada pihak berkuasa jika berlaku aktiviti jual beli haiwan terlindung itu di negeri ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, tenggiling antara yang disenaraikan sebagai haiwan dilindungi sepenuhnya selain tembadau dan orkid selipar.

Katanya, haiwan atau tumbuhan itu disenaraikan dalam Jadual 1, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997).

"Membeli tenggiling dengan niat untuk menyelamatkannya daripada dibunuh menunjukkan bahawa kesedaran orang awam sedang meningkat dalam menyayangi hidupan liar.

"Ia juga dilihat sebagai satu tindakan yang mulia, namun JHL menyeru agar tindakan itu tidak dilakukan kerana ia akan lebih menggalakkan penjenayah hidupan liar memburu dan menjual tenggiling secara haram," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu laporan akhbar bertajuk 'KK restaurateur pays RM200 to rescue pangolin' pada Isnin.

Sehubungan itu, Augustine berkata, membeli hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya juga merupakan satu kesalahan.

Katanya, merujuk kepada Sekyen 48(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, membeli haiwan atau tumbuhan yang dilindungi dibenarkan dengan syarat tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Namun, seksyen ini tidak terpakai bagi hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti tenggiling kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

"Sesiapa yang didapati bersalah menjual/membeli tenggiling, boleh dihukum denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun.

"Kami menghargai keprihatinan orang ramai yang sayang kepada hidupan liar tetapi sebarang kejadian jenayah hidupan liar, hendaklah dilaporkan dengan serta-merta. Dengan cara itu saja, kita sama-sama dapat membanteras pemburuan haram," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!