Sang Kenari perlu kekal momentum bertemu Sri Pahang FC

Syazwan mengikuti sesi latihan pertama Sang Kenari pada bulan Ramadan di Stadium Darul Aman FC. - Foto KDA FC
Syazwan mengikuti sesi latihan pertama Sang Kenari pada bulan Ramadan di Stadium Darul Aman FC. - Foto KDA FC
A
A
A

SANG Kenari perlu mengekalkan momentum dan tidak mudah leka semasa menerima kunjungan Sri Pahang FC pada aksi ketiga Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syazwan Zainon berharap, rakan-rakannya akan memberikan segalanya untuk menjinakkan Tok Gajah di laman sendiri bagi memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga.

Beliau percaya, KDA FC akan diberikan saingan sengit oleh pasukan pelawat dan mereka perlu berhati-hati dengan kejutan Sri Pahang FC yang pastinya mahu mendapatkan mata di Darul Aman.

"Kita tidak boleh menilai prestasi sebenar pasukan lawan walaupun mereka bergelut pada pusingan pertama Piala FA menentang pasukan M3, Manjung City FC.

"Dalam bola sepak setiap pasukan mampu melakukan kejutan dan sebab itu kami tidak boleh leka. Kami perlu bersiap sedia sepenuhnya menghadapi perlawanan pertama dalam bulan puasa ini," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.

Jelas Syazwan, semua pemain terus menunjukkan semangat tinggi pada sesi latihan semasa Liga Malaysia berehat selama tiga minggu.

Menurutnya, dua kemenangan pada aksi perlawanan persahabatan pada minggu lalu juga dilihat berjaya mengekalkan persefahaman pasukan terutamanya membuka ruang kepada pemain-pemain muda membentuk keserasian bersama pemain senior.

"Pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya dan sesiapa sahaja yang dipilih oleh jurulatih dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC membawa misi penting memburu kemenangan kali ketiga dalam saingan Liga Super ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!