Wanita maut dipukul, empat lelaki ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Empat lelaki ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes seorang wanita disahkan meninggal dunia akibat dipukul dalam kejadian pada 2 April lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun itu direman sehingga 11 April ini.

Katanya, kesemua suspek termasuk teman lelaki mangsa ditahan untuk membantu siasatan.

"Mereka ditahan di sekitar Teluk Kumbar pada 3 dan 4 April," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, polis menerima satu laporan pada 10.39 malam, 2 April daripada seorang doktor dari Hospital Balik Pulau mengenai keadaan mangsa.

"Mangsa yang berusia 20 tahun dikejarkan ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan kritikal. Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat kesan lebam di kepala serta seluruh tubuhnya.

"Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipukul teman lelakinya selepas bertengkar dipercayai bermotifkan cemburu.

Mangsa yang menetap di Melaka itu datang ke negeri ini bersama teman lelakinya pada 27 Mac lalu untuk tujuan penggambaran.

Ketika di sini, kedua-dua mereka tinggal di rumah sewa rakan mereka namun berlaku pertengkaran antara kedua-dua pasangan kekasih itu dipercayai kerana cemburu.

Mangsa dikatakan dipukul dengan objek tumpul sehingga tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Balik Pulau namun dirujuk ke HPP untuk rawatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!