Dua stesen minyak di Johor disyaki jual petrol subsidi

Azman ketika sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP di Putrajaya, pada Selasa.
Azman ketika sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP di Putrajaya, pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenal pasti dan sedang menyiasat dua stesen minyak di Johor Bahru yang dipercayai menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, siasatan terhadap kedua-dua stesen tersebut dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Setakat ini kami telah mengenal pasti dan sedang mendapatkan status terakhir siasatan (lanjut) terhadap dua stesen minyak di Johor," katanya dalam sidang media di ibu pejabat KPDNHEP di sini, pada Selasa.

Susulan pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu, beberapa gambar tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan berlakunya penjualan petrol bersubsidi terhadap kenderaan asing di stesen minyak tempatan.

Rentetan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

Alexander berkata, stesen minyak yang didapati melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) akan dikenakan penalti berjumlah tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali manakala bagi perbadanan atau syarikat akan didenda tidak melebihi RM2 juta.

Azman memaklumkan, bahawa pihaknya menerima lima aduan pada Selasa berkenaan kesalahan tersebut di Johor.

Sementara itu beliau berkata, kes penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing adalah masih terkawal dan pemantauan akan sentiasa dijalankan di kesemua stesen minyak di kawasan sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau melahirkan penghargaan kepada pengguna yang mengambil berat terhadap isu tersebut.

“Terima kasih kepada ahli Keluarga Malaysia yang prihatin terhadap isu ini. Sekiranya begitu banyak kuantiti Petrol RON 95 digunakan oleh pihak tidak berkelayakan, ia mungkin menjejaskan bekalan untuk rakyat kita sendiri.

“Jadi sebab itu disyorkan jika ada insiden-insiden seperti itu, salurkan terus kepada pihak kami supaya kami dapat ambil tindakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!