Pesara polis tembak kucing didenda RM6,500

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pesara polis yang melakukan khianat dengan menembak seekor kucing jantan yang memakan ayam peliharaannya dan melepaskan tembakan di tempat awam, dijatuhi hukuman denda berjumlah RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Zainol Abidin Md Zain, 65, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu pada Selasa.

Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan manakala denda RM1,500 atau penjara dua bulan untuk kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam.

Zainol Abidin didakwa dengan sengaja membunuh haiwan itu menggunakan selaras senapang patah di kawasan kebunnya di Kampung Setia, Kuang, Selangor pada 6.40 petang, 1 Julai 2020 mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bapa anak tujuh itu turut didakwa melepaskan tembakan di tempat awam menggunakan senjata sama pada masa dan di tempat sama mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh kerana tiada sebab munasabah untuk dia melepaskan tembakan kepada kucing yang bukan merupakan haiwan berbahaya kepada sesiapa pun.

"Adalah tidak wajar untuk tertuduh menembak kucing sehingga mati dengan alasan kucing itu telah memakan ayam belaannya. Walaupun tertuduh mempunyai lesen memiliki senjata api tetapi perbuatannya melepaskan tembakan di tempat awam dan membunuh kucing adalah tidak patut," katanya.

Peguam Azman Abdullah yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Artikel Berkaitan:

"Kucing itu telah memakan ayam anak guam saya dan pelbagai cara telah dilakukan olehnya untuk mengelakkan kucing tersebut daripada makan ayam belaannya itu. Kucing itu telah ditembak serta ditanam sendiri olehnya dan senjata yang digunakan adalah senapang patah milik arwah datuk tertuduh dan dia memiliki lesen senjata api," kata peguam itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!