Bomba guna jerut selamatkan anak kucing
TEMERLOH - Seekor anak kucing yang terperangkap di dalam longkang berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, semalam.
Dalam kejadian pada jam 8.28 pagi itu, anak kucing itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang di hadapan premis Lembaga Hasil Dalam Negeri Temerloh.
Ketua Balai Bomba Bukit Angin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasnuddin Husin berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kejadian terbabit.
Menurutnya, dengan tujuh anggota termasuk seorang pegawai telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai insiden tersebut.
"Seekor anak kucing berada di dalam longkang tersebut dan anggota operasi menggunakan penjerut untuk menaikkan kucing tersebut.
"Setelah beberapa minit, kucing itu berjaya dinaikkan oleh anggota kita.
"Mereka juga memberi bantuan untuk memanaskan badan kucing tersebut dari kesejukan," katanya lagi operasi tamat pada jam 8.48 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!