Tiga media gabung tenaga cadang anjur debat Anwar-Najib
SHAH ALAM - Tiga media terkemuka negara bergabung dan bekerjasama untuk menganjurkan debat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Debat tersebut bagi merungkai polemik yang melanda Sapura Energy Berhad sama ada ia perlu diselamatkan oleh kerajaan atau sebaliknya.
Media terlibat ialah Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily yang akan membawakan debat itu kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pelbagai platform.
Debat yang penuh bersejarah itu bakal mendapat liputan di media cetak, media dalam talian malah menerusi televisyen.
Sinar Harian sebelum ini tampil dengan program wacana debat khas yang dipanggil 'Berani Semuka', Sinar Harian pernah menampilkan pertembungan idea tokoh-tokoh hebat tanah air.
Ini termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang berdebat mengenai isu penyelewengan aset Tabung Haji pada 14 Ogos 2020.
Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga pernah berdebat dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 pada 13 Januari lalu.
Program 'Berani Semuka' menggunakan format diskusi ala pemilihan presiden Amerika Syarikat namun disesuaikan dengan budaya masyarakat Malaysia.
Ia memberi peluang kepada ahli politik dan tokoh masyarakat termasuk menteri-menteri untuk menjelaskan isu berbangkit kepada rakyat dalam suasana harmoni.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!