Ahmad Zahid saman fitnah terhadap Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin (4 April) dengan menamakan Muhyiddin, 74, sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata, pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Ahmad Zahid mendakwa defendan (Muhyiddin) telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari lepas.
"Pada hari yang sama, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro Awani yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro Awani berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang boleh diakses melalui internet," dakwa Ahmad Zahid dalam pernyataan tuntutan saman itu.
Dakwa plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 29,752 tontonan dan akaun Youtube Astro Awani mempunyai 1.44 juta pelanggan selain rakaman video itu telah dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial iaitu KiniTV, Facebook Page 'Perikatan Nasional', portal Malaysiakini dan Utusan Malaysia pada 16 dan 17 Februari lepas.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan seorang pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.
Ahmad Zahid menegaskan kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya selain mendakwa kenyataan fitnah berkenaan dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.
"Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah jelas dikeluarkan dengan niat jahat sebagai alat untuk mempengaruhi dan memberikan reputasi buruk serta negatif kepada plaintif selaku pemimpin tertinggi parti Barisan Nasional yang secara tidak langsung memberikan imej buruk kepada parti berkenaan yang bertanding di dalam PRN Johor," dakwa plaintif.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut memfailkan notis permohonan ex-parte (sebelah pihak) supaya defendan atau wakilnya menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.
Plaintif juga memohon perintah injunksi interim untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platform media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
Turut dipohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil 'Perikatan Nasional', YouTube Astro Awani dan KiniTV.
Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi interim mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.
Pendengaran permohonan ex-parte itu akan didengar esok di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff melalui sidang video. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!