Guru wanita maut kereta bertembung pacuan empat roda

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Perodua Kenari yang terlibat kemalangan di Kilometer 98 Jalan Sandakan-Lahad Datu, Kinabatangan.
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Perodua Kenari yang terlibat kemalangan di Kilometer 98 Jalan Sandakan-Lahad Datu, Kinabatangan.
A
A
A
KINABATANGAN - Seorang guru wanita maut selepas kenderaan yang dinaikinya bertembung dengan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 98 Jalan Sandakan-Lahad Datu, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Nurul Izzah Fatinah Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu jenis Toyota Fortuner milik Jabatan Kesihatan Sandakan yang dipandu lelaki 53 tahun dan sebuah Perodua Kenari yang dipandu mangsa.

"Punca kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu pacuan empat roda memotong kenderaan lain dan bertembung dengan Perodua Kenari yang berada di laluannya.

"Kedua-dua kenderaan terbabit termasuk ke dalam semak di sebelah kiri jalan. Akibat kejadian itu, pemandu Perodua Kenari mengalami cedera parah di kepala serta disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Kinabatangan manakala pemandu Toyota Fortuner hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk tindakan selanjutnya sebelum dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.07 petang.

Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 26 kilometer.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik tiba, terdapat seorang mangsa wanita tersepit di dalam kenderaan Perodua Kenari dan operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan.

"Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan telah meninggal dunia manakala seorang lagi pemandu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 5.01 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!