Perniagaan tukaran mata wang asing kembali 'hidup'

Kedai tukaran matawang asing di bandar raya ini yang sudah mulai dibuka seperti biasa selepas pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April lalu.
Kedai tukaran matawang asing di bandar raya ini yang sudah mulai dibuka seperti biasa selepas pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perniagaan tukaran mata wang asing di sekitar bandar raya ini yang dilihat kian merudum ketika penutupan sempadan Malaysia-Singapura akhirnya kembali bernafas selepas hampir dua tahun.

Tinjauan Sinar Harian di kedai tukaran mata wang asing di bandar raya ini dan Jalan Harimau Tarom di sini, mendapati keadaan sudah mula kembali ke normal dengan kehadiran pelanggan selain ia juga beroperasi dengan lebih lama.

Pemilik salah satu kedai tukaran mata wang asing di bandar raya ini, Tan Kok Chua, 47, berkata, sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lalu kedainya menerima kunjungan dengan jumlah yang ketara berbanding sebelum ini.

Katanya yang telah menguruskan kedai berkenaan sejak 26 tahun dulu, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19 yang berlaku dua tahun lalu, pelanggan yang datang juga boleh dikira dengan jari sahaja.

"Sebelum PKP memang kita sekurang-kurangnya mempunyai hingga 100 pelanggan setiap hari. Bila sempadan tutup sahaja, kita pun tidak boleh berniaga, memang kita sangat susah.

"Bila kita kembali dibenarkan untuk berniaga, masih belum sama lagi kerana sempadan masih ditutup, nasib baik kami juga ada buat khidmat kiriman wang.

“Tetapi kumpulan pelanggan kita dah lain pula, lebih kepada pekerja Nepal dan Bangladesh," katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.

Bermula 1 April, sempadan Malaysia-Singapura di negeri ini akhirnya dibuka dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan seperti saringan kesihatan ketika pelepasan dan ketibaan di kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Usaha berkenaan dilihat memberi manfaat kepada kedua-dua negara yang mana bakal merancakkan lagi ekonomi khususnya para peniaga terjejas selepas penutupan sempadan antarabangsa berkenaan dua tahun lalu.

Kok Chua berkata, operasi kedainya juga dilanjutkan dengan lebih lama sehingga 10.00 malam bermula 1 April lalu kerana masih mempunyai kehadiran pelanggan ketika waktu tersebut.

"Dulu kita buka kedai daripada 9.00 pagi hingga 5.00 petang sahaja. Memang tiada orang, sekarang boleh buka lama sikit kerana sempadan sudah mulai dibuka. Kita harap keadaan ini kekal lah.

"Walaupun sekarang bukan seperti kita sebelum pandemik, saya sudah gembira kerana masih boleh berniaga dan ada juga pelanggan, jangan tutup sempadan lagi, berniaga pun tidak boleh," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik kedai, Wong Jie Ying, 34, berkata sejak sempadan dibuka, pihaknya boleh menerima sehingga 30 pelanggan sehari berbanding sebelum ini.

"Dalam tempoh dua tahun ini, dalam sehari hanya seorang atau dua sahaja pelanggan datang membuat urusan. Sekarang keadaan bertambah baik, dalam sehari ada 20 hingga 30 pelanggan datang, terutama dari Singapura," katanya.

Jie Ying berkata, ketika tempoh penutupan sempadan pihaknya juga turut menukar operasi kedai kepada pusat kiriman wang kerana urusan tukaran mata wang asing yang lumpuh kerana tiada pelanggan.

"Kami tambah perkhidmatan kiriman wang. Kalau harap tukar wang sahaja tidak boleh jalan. Malah kita juga tidak menyimpan stok (wang asing) ketika tempoh ini kerana tidak boleh menghabiskannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!