Madinah Ramadan 'khabar' gembira buat rakyat Kelantan
KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menyifatkan pembukaan semula Madinah Ramadan yang terpaksa 'ditangguhkan' selama dua tahun akibat Covid-19 sebagai khabar gembira buat rakyat di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perlaksanaan semula Madinah Ramadan secara tidak langsung dapat mengukuhkan penyatuan antara umat Islam di negeri ini yang agak 'jauh' sejak pandemik.
"Alhamdulillah syukur tahun ini kita dapat mengadakan semula Madinah Ramadan dan saya harap kesempatan yang ada ini digunakan sebagai mungkin untuk mengukuhkan lagi penyatuan," katanya selepas merasmikan Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada malam Selasa.
Ahmad turut menunaikan solat Isyak dan sunat tarawih bersama 500 jemaah yang hadir di Madinah Ramadan.
Solat tersebut diimamkan oleh Syeikh Hisyam Abdelbary Mohamad Rageh dari Mesir.
Menurutnya, Madinah Ramadan menyediakan pelbagai pengisian terbaik sepanjang Ramadan termasuklah qiam, solat sunat tahajud, tadarus al-Quran dan banyak lagi.
Beliau berkata, orang ramai dialu-alukan untuk menghidupkan bulan penuh berkat ini dengan bersama-sama memeriahkan Madinah Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!