Teruskan pemakaian pelitup muka dalam fasa peralihan ke endemik

Orang ramai diingatkan agar terus berwaspada terhadap penularan Covid-19 dalam fasa peralihan ke endemik dengan memakai pelitup muka. - Foto Bernama
Orang ramai diingatkan agar terus berwaspada terhadap penularan Covid-19 dalam fasa peralihan ke endemik dengan memakai pelitup muka. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan masyarakat agar terus berwaspada terhadap penularan pandemik Covid-19 dalam fasa peralihan ke endemik dengan memakai pelitup muka bagi mengawal jangkitan virus itu.

Dr Noor Hisham berkata, pemakaian pelitup muka adalah antara langkah pencegahan yang dapat mengurangkan penularan virus itu terutamanya di kawasan jangkitan berisiko tinggi seperti tempat tertutup dengan pengudaraan yang tidak baik, tempat sesak dan tempat individu melakukan interaksi jarak dekat.

Beliau berkata, Covid-19 masih wujud dan menular serta mengakibatkan kematian terutamanya dalam kalangan warga emas, kanak-kanak, individu yang mempunyai sistem imuniti tubuh rendah dan individu yang mempunyai komorbid.

Menurut Dr Noor Hisham, amalan terbaik adalah kedua-dua individu iaitu pembawa Covid-19 dan juga individu sihat memakai pelitup muka kerana cara itu menjadikan risiko penularan virus berkenaan pada tahap sangat rendah.

"Ini (pemakaian pelitup muka) berdasarkan kemungkinan terdapat individu yang tidak tahu dijangkiti Covid-19 berada di kawasan umum kerana tidak bergejala," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, pemakaian pelitup muka yang betul adalah dengan pelitup muka menutup hidung serta mulut sepenuhnya, bukan sekadar di bawah atau hujung hidung memandangkan virus SARS-CoV-2 amat mudah merebak melalui titisan cecair atau titisan saluran pernafasan (respiratory droplets).

"Amalan saling tegur-menegur adalah tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini di mana ia adalah amalan solidariti bagi kebaikan bersama. Sekiranya terdapat individu yang tidak memakai pelitup muka atau memakainya dengan tidak betul, kita boleh saling menegur secara berhemah.

"Amalan ini perlu dibudayakan demi menjaga kesihatan sesama kita selain terus mengamalkan penjarakan fizikal yang munasabah dan segera mendapatkan dos penggalak bagi yang belum menerimanya," katanya.

Senarai penuh prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pemakaian pelitup muka boleh didapati di laman www.mysop.gov.my.

Artikel Berkaitan:

Mengenai perkembangan Covid-19 dalam negara pada Selasa, Dr Noor Hisham berkata, kes baharu kekal di bawah paras 15,000 untuk empat hari berturut-turut dengan 12,017 kes, menjadikan kumulatif kes di negara kini 4,268,486 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 28 kes merupakan kategori tiga; 15 kes melibatkan kategori empat, sementara 25 kes membabitkan kategori lima, manakala bakinya adalah kategori satu dan dua.

Mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19, beliau berkata, hanya Selangor mencatat peratusan pengisian 50 peratus atau lebih bagi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) setakat Selasa iaitu 51 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 558 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital pada Selasa dengan 221 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, sementara selebihnya kategori satu serta dua.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.86 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.03, manakala Kelantan mencatat kadar paling rendah dengan 0.66. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!