Pegawai JPJ minta rasuah dijel 14 hari, denda RM17,500
SEREMBAN - Perbuatan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta rasuah sebanyak RM3,500 dari sebuah syarikat agar tidak mengambil tindakan pengutkuasaan ke atas kesalahan dilakukan membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Najmi Zakaria, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Najmi yang ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 JPJ Negeri Sembilan didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai berjumlah RM3,500 daripada pemilik sebuah syarikat di Lukut.
Wang itu sebagai dorongan bagi dirinya yang merupakan pegawai badan awam untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan lapan buah kenderaan yang tidak mematuhi notis di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kesalahan itu dilakukan di sekitar Seremban antara 13 Februari 2018 hingga 31 Mei 2019.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh daripada satu pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.
Ia juga mengambil kira persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).
Sebelum itu tertuduh yang diwakili peguam, Asmawi Ismail memohon hukuman paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya yang menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah.
"Tertuduh telah 14 tahun berkhidmat dalam JPJ, dia juga menjaga ibu bapa yang sudah tua yang mana ayahnya baru menjalani pembedahan jantung dan dalam proses untuk sembuh.
"Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah yang pertama dihadapinya dan sebagai penjawat awam pengakuan bersalah itu akan menjejaskan pekerjaannya serta dia akan hilang pendapatan untuk menanggung keluarga," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!