Perbicaraan petisyen Parlimen Jasin dilanjut ke April depan
MELAKA - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini melanjutkan tempoh perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Jasin yang dijadual berakhir hari ini ke 2 April hingga 12 April ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang mahu perbicaraan itu diselesaikan pada tarikh yang dilanjutkan itu.
Lanjutan tempoh perbicaraan itu membolehkan semua saksi yang terlibat dengan petisyen itu memberi keterangan.
Pada 6 Mac lepas, Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon PH pada PRU14 bagi kerusi Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan penuh bermula pada 11 Mac hingga hari ini.
Khairuddin diwakili peguam Muniandy Vestanathan, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Ahmad manakala Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!