Rapid Bus guna bas elektrik di laluan terpilih

Rapid Bus melakukan percubaan penggunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan kenderaan awam itu sehingga 13 Jun depan.
Rapid Bus melakukan percubaan penggunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan kenderaan awam itu sehingga 13 Jun depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) melakukan percubaan penggunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan kenderaan awam itu sehingga 13 Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Yazurin Sallij berkata, percubaan itu melibatkan empat bas elektrik di beberapa laluan terpilih.

Menurutnya, dua laluan percubaan yang terlibat adalah di Laluan 400, Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang, dan Laluan 650, Taman Desa ke Hab Pasar Seni.

"Percubaan penggunaan bas elektrik ini adalah selari dengan pelan transformasi Rapid Bus melalui Program Elektrifikasi Bas yang mana bas diesel sedia ada akan digantikan dengan bas elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohammad Yazurin berkata, Rapid Bus sudah mula menggunakan bas elektrik sejak tahun 2015 bagi koridor BRT Sunway dalam usaha mewujudkan persekitaran yang terkawal.

Jelas beliau, sebanyak 15 bas elektrik telah digerakkan dengan jumlah perjalanan lebih dari 659,000 kilometer menggunakan kaedah 'overnight charging' atau pengecasan semalaman.

"Inisiatif ini juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050," ujarnya.

Katanya, penumpang atau penduduk di sepanjang laluan-laluan terlibat diharap tidak melepaskan peluang untuk mencuba perkhidmatan bas elektrik dan memberikan maklum balas tentang bagaimana perkhidmatan itu dapat dipertingkatkan lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, penumpang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi perkhidmatan bas Rapid KL di laman media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE di telefon pintar masing-masing.

"Kami akan mengemas kini maklumat terbaharu bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan anda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!