Pencuri jatuh dari bumbung dicekup
ENINGAU - Tindakan seorang lelaki melakukan jenayah pecah rumah membawa padah apabila terjatuh dari bumbung rumah dalam kejadian di Taman MDK 2, di sini, pada malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, lelaki berusia 30-an terbabit turut berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dikerah ke lokasi sebaik menerima laporan berkaitan kejadian itu.
"Hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek mendapati tidak ada kecederaan yang serius. Bagaimanapun, polis menemui barang curi milik tuan rumah yang dipecah masuknya.
"Saringan air kencing juga dijalankan dan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine atau syabu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan rekod lampau didapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan kes pecah rumah.
"Suspek direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Sebelum itu, satu video berdurasi 21 saat berkaitan kejadian itu turut tular di media sosial memaparkan seorang lelaki jatuh dari bumbung rumah di kawasan perumahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!