Mana pelan tempatan pembangunan?
GEORGETOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kerajaan Pulau Pinang digesa supaya mendedahkan pelan tempatan pembangunan supaya setiap perancangan bandar di negeri ini dibuat dengan terancang dan teliti.
Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group, Yan Lee berkata, pelan tempatan pembangunan penting bagi mengelakkan setiap perancangan pembangunan dibuat sesuka hati tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang yang akan dihadapi nanti.
Dakwanya, sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri ini sejak 14 tahun lalu, pelan tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum.
"Isu pelan tempatan pembangunan ini telah dibangkitkan sejak dahulu lagi namun sehingga sekarang, ia masih belum didedahkan kepada umum oleh MBPP mahu pun kerajaan negeri. Saya membangkitkan isu ini sekali lagi apabila ada cadangan rancangan pembangunan di Burmah Square di sini, yang akan menyaksikan sebahagian dadaripa bangunan warisan yang ada di situ akan dihapuskan.
"Dari sumber dalaman yang diperolehi, lebih separuh daripada kuarters kerajaan sebelum perang yang dibina pada 1920-an akan dirobohkan untuk digantikan dengan dua blok menara. Projek itu akan diteruskan jika rancangan yang dikemukakan oleh agensi kerajaan negeri diluluskan," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Jalan Pykett di sini, pada Rabu.
Katanya, pelan tempatan merupakan garis panduan akan menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dibina di kawasan tertentu.
"Jika tiada rancangan tempatan untuk (bahagian pulau), maka kita akan lihat pembangunan tidak sepatutnya dibangunkan seperti yang berlaku pada waktu ini. Salah satunya adalah di Burmah Square yang mana sebahagian daripada rumah yang dibina sebelum perang akan dirobohkan untuk pembinaan bangunan pencakar langit.
"Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, bangunan warisan adalah unik untuk Pulau Pinang. Pelancong datang ke sini untuk melihat bangunan-bangunan seperti ini. Merobohkannya dan membina bangunan tinggi akan menghilangkan daya tarikan warisan Pulau Pinang," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri menjanjikan rancangan tempatan untuk Pulau Pinang apabila mula berkuasa pada 2008 namun semua janji-janji itu tidak ditunaikan.
"Disebabkan tiada pelan tempatan pembangunan, maka mereka sesuka hati nak buat apa. Janji pula tidak ditunaikan menyebabkan pembangunan tidak sesuai dirancang akan dibina di beberapa kawasan termasuk Burmah Square.
"Kita akan terus membantah projek pembangunan di Burmah Square dan berharap negeri ini akan mengutamakan kekayaan warisan lebih dari pembangunan moden lain.
Sebelum ini, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengesahkan akan mengekalkan dan membaik pulih deretan 19 unit bangunan di Burmah Square di sini yang dikategorikan sebagai bangunan warisan kategori dua dalam cadangan pembangunan semula kawasan terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Mohd Bazid Abd Kahar berkata, perbincangan dengan MBPP termasuk Jabatan Konservasi Warisan MBPP telah diadakan dan aspek warisan serta pandangan mengenai pembangunan warisan turut diambil kira.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!