Pertembungan Rafizi-Saifuddin tidak bawa perpecahan PKR

Dari kiri: Nor Azam dan Aizuddin
Dari kiri: Nor Azam dan Aizuddin
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pertembungan antara Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang merupakan pertandingan sihat dalam parti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar, Nor Azam Karap berkata, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti itu selagi ia dilakukan secara sihat dan mengikut peraturan.

“Saya jangkakan berlaku saingan sengit kerana kedua-duanya tokoh yang disegani dan mempunyai pengikut tersendiri, namun saya percaya tiada lagi bibit perpecahan seperti sebelum ini memandangkan mereka pernah bersama dalam parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nor Azam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, akar umbi mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin mengisi kekosongan jawatan timbalan presiden mahupun mana-mana jawatan tertinggi kerana PKR bersifat terbuka terhadap ahli partinya.

“Jawatan timbalan presiden itu bukan dikhususkan kepada mana-mana ahli parti. Setakat ini, hanya dua calon yang mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, belum dengar ada calon lain yang berminat bertanding jawatan itu,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan khidmat dan kepimpinan Saifuddin sebelum dan selepas Langkah Sheraton, beliau memang layak untuk jawatan berkenaan memandangkan tetap istiqamah bersama PKR.

“Ciri-ciri kepimpinan ini perlu ada bagi seorang pemimpin yang akan bantu Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyediakan parti untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Berdasarkan senioriti, peribadi, kesetiaan dan pengalaman sebagai Setiausaha Agung parti, saya yakin Saifuddin adalah calon yang selayaknya dipilih untuk mengisi jawatan tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara Ketua Penerangan AMK Malaysia, Aizuddin Ariffin senada dengan Nor Azam bahawa persaingan sihat bukanlah petanda PKR masih berdepan perpecahan dalaman.

“Kalau diurus dengan baik, tak akan tersasar dari landasan prinsip dan akan menjadi saingan sihat. PKR sentiasa rai demokrasi dalam parti.

“Apa yang penting, siapa yang dipilih pada pemilihan, pimpinan terbabit perlu kembalikan keyakinan rakyat kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) terutamanya pengundi atas pagar,” katanya.

Menurut Timbalan Ketua AMK Kedah itu, pemilihan kali ini merupakan medan untuk memperkukuhkan parti bermula dengan mengukuhkan struktur organisasi bagi mendepani PRU15 selepas Langkah Sheraton.

“Saya yakin pemilihan kali ini bakal mengetengahkan barisan pimpinan yang memastikan parti terus dinamik. Semua peringkat ahli harus fokus kepada agenda reformasi dan beri keutamaan kepada isu-isu rakyat,” katanya lagi.

Setakat ini, hanya dua calon mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti akan datang, iaitu Rafizi dan Saifuddin.

Saifuddin menawarkan diri pada Jumaat lalu manakala Rafizi menyatakan hasrat tersebut pada 15 Mac selepas mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!