S P Setia raih kemenangan berganda di MPA FIABCI 2021
SHAH ALAM - S P Setia berjaya meraih kemenangan berganda di Anugerah Hartanah Persekutuan Hartanah Antarabangsa Malaysia (FIABCI) (MPA) 2021 yang diadakan pada 29 Mac lalu.
Anugerah itu melibatkan kategori Pembangunan Kegunaan-Bercampur untuk projek KL Eco City (KLEC), manakala kategori Kediaman (Bertingkat Rendah) dimenangi oleh Setia Marina 2, Setia Eco Glades di Cyberjaya.
Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Tan Hon Lim berkata, ia adalah kemenangan kali ke-14 syarikat pemaju hartanah itu dalam anugerah berprestij tersebut.
“Projek-projek berkenaan diiktiraf bukan sahaja untuk seni bina dan reka bentuk, tetapi juga impak alam sekitar dan faedah komuniti yang telah disumbangkan dalam industri hartanah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pengiktirafan yang diberikan atas usaha mereka membangunkan kawasan yang kondusif untuk alam sekitar dan masyarakat telah menunjukkan kepentingan pembinaan secara mampan.
“Kami berbesar hati dapat mencapai kemenangan yang ke-14 di MPA FIABCI selepas menerima dua anugerah.
“Kami akan terus berusaha memberikan penyelesaian yang inovatif dan mampan kepada pembeli dan pelabur rumah kami,”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!