Bawa bekas makanan ke bazar Ramadan dapat kupon RM15: MBPJ
PETALING JAYA - Pengunjung bazar Ramadan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang membawa bekas makanan atau beg kitar semula akan menerima kupon belanja bernilai RM15.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, tawaran 2,000 kupon boleh dituntut di laluan masuk bazar terbabit dan ditawarkan bagi mengurangkan penggunaan bekas polisterina serta beg plastik.
“Setiap bazar memiliki kuota berbeza. Kupon sah digunakan untuk membeli juadah pada hari berkenaan sahaja. Orang ramai boleh mendapatkannya setiap hari namun perlu membawa bekas atau beg sendiri.
“Usaha ini selaras dengan program 'Go Green' dan kempen bebas beg plastik yang dianjurkan kerajaan negeri untuk memulihara alam sekitar,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
MBPJ menyediakan 20 lokasi bazar Ramadan melibatkan 646 peniaga sepanjang bulan Ramadan ini yang beroperasi mulai 4 petang sehingga 7 malam pada setiap hari.
Pada Februari lalu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian dilaporkan berkata, kempen bebas beg plastik dipergiat secara besar-besaran tahun ini bagi mendidik masyarakat supaya mengurangkan penggunaan bahan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!